Soalan Lazim


1. Apakah yang dimaksudkan dengan kes-kes kecemasan bagi tujuan rawatan di Jabatan Kecemasan?

Kes-kes kecemasan termasuk kemalangan (di jalan raya / di tempat kerja / domestik), serangan lelah, serangan jantung, pengsan, digigit ular, kebakaran, sawan, pendarahan kemaluan, keracunan makanan, sakit perut secara tiba-tiba dan amat kuat.

2. Apakah nombor untuk dihubungi untuk memohon perkhidmatan ambulans untuk kes kecemasan ?

Sila hubungi talian 999 ataupun 086-255899 bagi kawasan yang diliputi oleh Hospital Bintulu

3. Bagaimanakah kes- kes keganasan rumah tangga, rogol, liwat dan penderaan kanak-kanak dikendalikan di Jabatan Kecemasan dan Trauma?

Bagi kes-kes tersebut yang dibawa terus ke hospital oleh pihak selain pegawai polis,pihak hospital akan membuat laporan polis dan rawatan perubatan, pemeriksaan dan pengumpulan spesimen akan dilakukan oleh Pegawai Perubatan dan Jururawat yang telah dikhaskan untuk mengendalikan kes ini dengan kehadiran pihak polis.

4. Adakah hospital ini menawarkan perkhidmatan rawatan pakar?

Ya. Kami mempunyai barisan doktor pakar yang berpengalaman dalam bidang Perubatan, Ortopedik, Kebidanan Dan Sakit Puan, Rawatan Rapi, Surgeri, Radiologi, Psikiatri, Anesthesia, Oftalmologi, Otorinolaringologi, dan Kecemasan Dan Trauma.

5. Bagaimana caranya untuk mendapatkan rawatan pakar?

Anda perlu diperiksa oleh pegawai di klinik kesihatan terlebih dahulu. Surat rujukan akan dibuat dan anda perlu mendapatkan tarikh temujanji dahulu di klinik pakar sebelum berjumpa dengan doktor pakar.

6. Adakah pihak hospital bertanggungjawab di atas kehilangan harta benda atau kenderaan pesakit / waris?

Tidak. Pihak hospital tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan. Oleh sebab itu pesakit / waris dinasihatkan tidak membawa sebarang barangan berharga semasa berada di hospital.

7. Apakah caj yang dikenakan jika pesakit pada mulanya dimasukkan ke wad kelas rendah kemudian atas permintaannya dipindahkan ke wad yang lebih tinggi?

Caj wad dikenakan mengikut bilangan hari pesakit tinggal di wad kelas rendah dan bilangan hari pesakit tinggal diwad yang lebih tinggi. Manakala caj rawatan dan siasatan dikenakan mengikut caj kelas yang lebih tinggi dari tarikh pesakit dimasukkan ke wad.

8. Kes pesakit ingin membawa balik x-ray film. Adakah dikenakan caj bayaran?
Bagi pesakit yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit dalam atau pesakit luar, filem xray tidak akan diserahkan kepada pesakit kerana ia adalah hak pejabat rekod hospital.Walau bagaimana pun sekiranya pesakit memerlukan laporan xray berkenaan, pesakit boleh memohon untuk mendapatkan laporan perubatan melalui pejabat rekod dengan dikenakan caj seperti mana yang telah ditetapkan dalam Perintah Fi (Perubatan)1982.
Bagi pesakit yang memohon untuk mendapatkan filem xray ,pesakit perlu dikenakan caj mengikut seperti mana kadar yang ditetapkan dalam “perenggan 12 ” Perintah Fi(Perubatan)1982.

9.  Ahli RELA sering mengemukakan kad ahli RELA sebagai dokumen untuk dikecualikan daripada membayar caj hospital. Adakah terdapat pengecualian bayaran perkhidmatan rawatan/caj wad kepada ahli RELA termasuk bayaran 1.00 sebagai pesakit luar?

Bagi ahli RELA, sekiranya sakit disebabkan bencana/kecederaan semasa menjalankan tugas, layak diberi kemudahan rawatan pesakit luar percuma dan rawatan pesakit dalam kelas dua(2) percuma.

Tetapi, sekiranya anggota RELA tersebut sakit bukan disebabkan kerana menjalankan tugas , anggota tersebut perlu dikenakan caj sebagai orang awam biasa samada apabila mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar atau pun sebagai Pesakit dalam.

10. Adakah pelajar IPTA awam yg membawa surat pengesahan pelajar,dikecualikan bayaran?
Bagi pelajar-pelajar IPTA/IPTS yang membawa surat pengesahan pelajar dari IPTA/IPTS perlu dikenakan caj sebagaimana orang awam yang lain. Kecuali bagi pelajar IPTA/ IPTS yang berumur dibawah 21 tahun dimana ibu atau bapa mereka adalah penjawat awam, mereka layak medapat kemudahan rawatan percuma mengikut kelayakan ibu atau bapa pelajar tersebut.

11. Berapakah caj yang dikenakan jika pesakit dirujuk oleh doktor klinik swasta ke klinik pakar bagi pesakit warga asing?

Caj RM60.00 dikenakan bagi lawatan pertama dan RM60.00 bagi setiap lawatan susulan. Caj ini tidak termasuk segala siasatan.

12. Adakah pesakit kelainan upaya(OKU) yang memegang kad OKU boleh menjamin isteri/suami atau anaknya, (diberi pengecualian caj rawatan)?

Penyecualian caj rawatan yang diberikan kepada OKU hanyalah untuk pemegang kad OKU tersebut sahaja dan tidak termasuk keluarga mereka.

13. Adakah pelajar yang diterima masuk ke sekolah berasrama penuh tidak dikenakan sebarang caj untuk Pemeriksaan Kesihatan?

Pelajar yang diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh, Sains, MRSM dan Maktab Tentera Diraja dikenakan caj sebanyak RM1.00 untuk pemeriksaan kesihatan dengan membawa surat tawaran dan borang pemeriksaan kesihatan.

14. Adakah peserta yang diterima untuk memasuki Program Latihan Khidmat Negara (PKLN) dikecualikan daripada caj pemeriksaan perubatan?

Ya, tiada sebarang caj dikenakan bagi pemeriksaan kesihatan peserta PKLN.